DHAKA: Satu daripada universiti terulung Bangladesh terpaksa ditutup, semalam, selepas lima cedera dalam rusuhan pelajar yang memberontak meminta waktu pelepasan untuk menonton Piala Dunia.

Pelajar membawa kayu mengamuk di sekeliling Universiti Kejuruteraan dan Teknologi yang terletak di tengah bandar Dhaka itu.

Kelmarin, mereka meminta jangka waktu semester dipendekkan agar dapat menonton perlawanan Piala Dunia, kata ketua polis tempatan, Rezaul Karim.

“Pelajar junior mahukan kampus ditutup supaya mereka boleh menonton perlawanan Piala Dunia. Tapi berbeza dengan pelajar senior, mereka pula enggan kerana berdepan dengan peperiksaan. Oleh itu, wujud perbalahan yang tegang dalam situasi itu.

“Susulan itu, pihak universiti mengadakan perbincangan tergempar dan mencapai keputusan supaya universiti ditutup segera,” kata Karim sambil menambah, hanya seminggu saja lagi sebelum tarikh sebenar semester ditutup, iaitu 26 Jun ini.

Pada Piala Dunia 2006, beberapa pelajar turut cedera dalam kejadian amuk di universiti yang sama.

“Kami menutup universiti dalam jangka masa yang masih belum dipastikan, bagi mengelakkan sebarang masalah yang mungkin berlaku. Kami berharap, universiti akan dibuka semula selepas Piala Dunia,” kata Ketua Hal Ehwal Pelajar, Jibon Podder.

Sementara itu, Bangladesh sememangnya mempunyai budaya politik pelajar yang ganas, terutama dalam kampus universiti awam. Semua ketiga-tiga komponen parti politik utama negara mempunyai sokongan kuat pelajar, yang mana selain sokongan kadangkala mereka turut memberi dana. – AFP