Angkatan Muda Keadilan Selangor mempertikaikan agenda perjuangan PERKASA yang kononnya berjuang untuk orang Melayu. Motif yang diperjuangkan kononnya untuk membela nasib orang Melayu dengan mengadakan demontrasi jalanan dan menyemai sentimen perkauman secara melampau mengundang pelbagai persoalan. Malahan sasaran terpilih PERKASA yang hanya dilihat vokal dan lantang hanya di negeri-negeri yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat menjadi suatu misteri.

Demontrasi dan memorandum bantahan yang dikemukakan adalah sekadar gimik politik murahan yang dipimpin oleh ahli politik yang semakin dipinggirkan. Isu untuk memperjuangkan nasib bangsa Melayu juga seolah-olah hanya wujud di negeri-negeri Pakatan Rakyat sedangkan PERKASA perlu tegas dan berani membawa tuntutan kepada kerajaan pusat yang kini di bawah UMNO/BN.

AMK Selangor juga mempertikaikan untuk apa adanya PERKASA sedangkan hak dan keistimewaan orang-orang Melayu telah termaktub dan dijamin di dalam Perlembagaan Persekutuan. Malahan isu mengenai kedaulatan Raja-Raja Melayu yang kononnya PERKASA perjuangkan sebenarnya lebih banyak terhakis hilang hak keistimewaan tersebut di bawah pemerintahan UMNO/BN semenjak 50 tahun.

PERKASA ingin dilihat kononnya berjuang membela nasib orang-orang Melayu yang katanya kian terpinggir. Namun, ia sebenarnya lebih sekadar gimik dan modal politik yang diperkudakan untuk meraih populariti di kalangan orang-orang Melayu apabila jelas UMNO kini semakin ditolak oleh rakyat dan orang-orang Melayu sendiri. Adalah ditegaskan jika benar PERKASA mahu membela nasib orang Melayu desakan kuat dan tuntutan perlu disasarkan kepada parti pemerintah negara ini yang mana gagal membangunkan dan memperkasakan kekuatan bangsa Melayu daripada aspek ekonomi, sahsiah, minda dan politik sejak 50 tahun lepas.

Generasi muda kini melihat agenda politik berjuang sekadar untuk membela nasib sesuatu kaum adalah bersifat untuk kepentingan sendiri dan elit-elit tertentu. Sedangkan agenda memperkasakan rakyat pelbagai bangsa dan agama di negara ini perlu menjadi keutamaan bagi memastikan negara ini hidup bersama secara harmoni dan berkasih-sayang. Malahan agenda pembanterasan jenayah rasuah dan memperkukuh nilai keadilan dalam pentadbiran adalah keutamaan untuk membina negara ini memacu pertumbuhan dan kemakmuran negara.

Kewujudan PERKASA itu sendiri yang cuba menjadi alternatif kepada perjuangan UMNO apabila parti itu gagal memainkan peranan utamanya semakin banyak kelihatan. Rasa muak rakyat kepada politik UMNO yang ditunjangi oleh gejala politik wang dan kelemahan idea gagasan besar menyebabkan agenda pembaharuan negara tidak berjalan dengan lancarnya. Yang pasti, PERKASA adalah perkakas kepada UMNO jika dilihat mirip dan modus operandi apa yang kononnya diperjuangkan. Justeru rakyat diharap tidak mudah terperangkap dengan agenda mereka kerana tujuan dan motif perjuangan mereka amat kabur dan mengelirukan.

Kita mempertikaikan apa motif PERKASA yang hanya lantang di negeri-negeri Pakatan Rakyat tetapi membisu, lesu dan kaku apabila berada di negeri-negeri di bawah kerajaan UMNO/Barisan Nasional. Ke manakah suara pembelaan PERKASA apabila melihat nasib Bahasa Melayu semakin dipinggirkan? Ke manakah pembelaan PERKASA tatkala undang-undang Islam dipermain-mainkan apabila Mahkamah Syariah dianggap tidak setaraf dengan Mahkamah Sivil? Ke manakah suara-suara vokal PERKASA apabila pemimpin-pemimpin tertinggi UMNO yang berbangsa Melayu terpalit dengan pelbagai skandal moral, rasuah dan penyelewengan kuasa?

Justeru, AMK Selangor sekali lagi mengingatkan agar rakyat bijak dan pintar menilai agenda sempit yang dibawa oleh PERKASA dari masa ke masa. Mereka berjuang kerana apa dan untuk apa sedangkan sudah sekian lama hak dan keistimewaan orang-orang Melayu sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan sejak sekian lama. Bangsa Melayu kian terpinggir dalam dunia persaingan sejagat berpunca antara lain kegagalan UMNO sendiri selaku pentadbir negara selama 50 tahun ini gagal menterjemahkan Islam sebagai cara hidup atau “Ad-Deen” serta tidak melaksanakan ajaran Al-Quran dan Sunnah sepenuhnya di negara ini.

Akhirnya, kita menggesa agar suara-suara vokal dan lantang PERKASA juga hebat di negeri-negeri yang ditadbir oleh Barisan Nasional. Isu pembelaan Melayu tidak boleh bersifat selektif yang didakwa kononnya hanya wujud di negeri-negeri Pakatan Rakyat. Malahan perlu hebat dan gah juga suara-suara pembelaan kepada bangsa-bangsa lain. Ingatlah jika Melayu dan Islam adalah asas kepada hubungan akrab persaudaraan sebangsa dan seagama, berlainan agama dan bangsa adalah asas hubungan akrab persaudaraan sesama manusia pula.

*Kenyataan media oleh Mohd Ezli Mashut selaku Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan Selangor.