KUALA LUMPUR – Semua penjawat awam di negara ini dilarang melakukan sebarang aktiviti yang melanggar tatacara penggunaan Internet termasuk aktiviti sembang, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata, kerajaan telah mengeluarkan Pekeliling Kemajuan Pentadbiran Awam Bilangan 1 Tahun 2003 bertajuk Garis Panduan Mengenai Tatacara Penggunaan Internet dan Mel Elektronik di Agensi-Agensi Kerajaan dan ia boleh dicapai di laman web http://www.mampu.gov.my.

“(Langkah) ini sebagai panduan kepada penjawat awam terhadap penggunaan kemudahan Internet,” kata Najib dalam jawatan bertulis bagi menjawab pertanyaan Teresa Kok Suh Sim (DAP-Seputeh) di Dewan Rakyat semalam.

Antara larangan tatacara penggunaan Internet yang dijelaskan oleh Perdana Menteri itu merangkumi memuat naik, memuat turun, menyimpan dan menggunakan perisian tidak berlesen.

Selain itu, katanya, penjawat awam juga dilarang menyalahgunakan kemudahan perbincangan awam atas talian seperti newsgroup dan bulletin board.

Perdana Menteri juga melarang penjawat awam menggunakan kemudahan sembang, menggunakan Internet untuk tujuan peribadi dan menjalankan aktiviti komersial dan politik.

Kosmo Online