KECUNDANG di tengah jalan dan gagal di semester akhir sebelum sempat menggenggam segulung ijazah pasti meninggalkan kesan cukup mendalam.

Dek kekecewaan itu, ada yang patah semangat untuk meneruskan perjuangan malah menganggap ia titik noktah memperoleh kejayaan.

Malah, mereka berasa rendah diri dan malu berhadapan dengan rakan-rakan serta keluarga kerana gagal menamatkan pengajian.

Walaupun kegagalan itu kesilapan diri sendiri, namun ke mana hala tuju pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) yang gagal ini?

Kegagalan itu bukan saja menutup peluang mereka untuk mengikuti kursus yang sama malah tempat mereka di universiti itu tidak ada.

Selepas menghabiskan masa mengikuti pengajian di IPT, apakah ilmu yang diperoleh sia-sia sahaja?

Penolong Pengarah Program Hal Ehwal Pelajar, Sekolah Sains dan Teknologi, Kolej Antarabangsa IKIP, Mazlina Mohd Salleh, berkata kegagalan di IPT bukan titik noktah mencapai kejayaan.

Beliau berkata, walaupun gagal, peluang menimba ilmu dan memperoleh kejayaan masih terbuka luas selagi bersemangat dan sedar kesilapan lalu.

“Perjalanan mencapai kejayaan bukan mudah, ada yang gagal dan kecundang dulu.

“Namun, yang penting mereka perlu ada kesungguhan untuk bangkit daripada kegagalan dan membuktikan melalui segenggam ijazah,” katanya.

Mazlina berkata apabila sedar kesalahan lampau, mereka boleh memulakan langkah dari awal.

“Gagal sekali bukan bererti gagal selama-lamanya kerana mereka tetap ada peluang meneruskan pengajian dalam kursus yang sama.

“Bagi Pelajar IPTA, mereka boleh bermula dari awal dengan memilih kursus yang sama tetapi mengikutinya di IPTS,” katanya.

Di peringkat awal, mungkin menghadapi sedikit kesukaran tetapi apabila mendapat keputusan cemerlang di semester pertama, mereka berpeluang mendapat pinjaman tabung pendidikan.

“Saya perhatikan pelajar yang gagal kali pertama lebih tekun belajar untuk menebus kekecewaan itu kerana mereka tidak mahu kecundang lagi.

“Ramai pelajar kolej ini yang gagal di IPTA mendapat keputusan cemerlang kali kedua dan kini menjawat jawatan tinggi di Petronas,” katanya.

Beliau mencadangkan pelajar yang gagal mencari pekerjaan menggunakan keputusan peperiksaan sebelum ini sebelum melanjutkan pelajaran ke IPT.

“Mereka yang gagal bukan tidak pandai tetapi mungkin lalai, cuai atau ada sebab-sebab lain yang menganggu pembelajaran mereka ketika itu.

“Saya yakin dengan bekerja sambil belajar, mereka boleh mengambil kursus-kursus yang diminati.

“Selepas menamatkan pelajaran nanti, mereka boleh memutuskan untuk meneruskan kerja lama atau mencari pekerjaan lain,” katanya.

Dengan pengalaman selama sembilan tahun bertugas sebagai pensyarah, Mazlina berkata satu lagi pilihan untuk pelajar yang gagal di IPT ialah dengan berniaga atau mengambil kursus-kursus kemahiran.

“Tidak semua pelajar minat atau pandai dalam bidang akademik. Ini kerana, ada antara pelajar yang kurang cemerlang dalam akademik tetapi cemerlang dalam bidang lain.

“Mereka mungkin boleh membina perniagaan atau mengikuti kursus jangka pendek,” katanya.

Beliau berharap pelajar IPT yang gagal jangan putus asa sebaliknya menjadikan kegagalan itu perangsang untuk berjaya.

“Anggaplah kegagalan itu sebagai persiapan untuk menghadapi sebarang kemungkinan dalam kehidupan yang akan datang,” katanya.

Sementara itu, Mohd Ariff Md Jun, 28, berkata kegagalan dialaminya dulu mengajarnya berusaha dan berani menghadapi sebarang kegagalan.

“Ketika mendapat tawaran belajar di IPT, saya amat gembira dan bangga.

“Bagaimanapun, saya tidak minat dengan kursus yang ditawarkan iaitu Kejuruteraan Mekanikal dan beberapa kali memohon bertukar jurusan tetapi ditolak.

“Akhirnya, di semester tiga, saya gagal selepas mengambil kertas yang sama sebanyak tiga kali,” katanya.

Arif berkata, kegagalan itu memberi tamparan hebat buatnya kerana gagal meneruskan pengajian dan malu berhadapan rakan-rakan.

“Saya mengambil keputusan melanjutkan pengajian di IPTS dalam jurusan Kejuruteraan Teknologi Maklumat.

“Selepas menamatkan pengajian di peringkat diploma perasaan malu terhadap rakan-rakan hilang dan bangga keputusan diperolehi melayakkan saya menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

“Kini, saya lebih yakin mencuba sesuatu yang berisiko kerana percaya kejayaan boleh dikecapi walaupun pernah gagal,” katanya.

Sumber harian metro