PUTRAJAYA, 20 Mac (Bernama) — Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) memberi jaminan kepada Cuepacs bahawa ia dalam proses mengkaji semula cadangan balas kongres itu mengenai Peperiksaan Tahap Kecekapan (PTK).

Ketua pengarah JPA, Tan Sri Ismail Adam memberikan jaminan itu kepada Setiausaha agung Cuepacs Ahmad Shah Mohd Zin pada dialog pertemuan antara ekdua-dua pihak di sini semalam.

Ahmad Shah berkata PTK merupakan satu isu yang sering dibangkitkan dan dipersoalkan di kalangan kakitangan kerajaan dan kebanyakan mereka tidak berpuas hati dengan format peperiksaan sekarang.

Beliau berkata Cuepacs telah mencadangkan bahawa peperiksaan itu hendaklah berdasarkan kepada skop tugasan seseorang kakitangan dan lebih khusus kepada menguji kemampuan mereka dalam menjalankan tugas hariannya.

Kini peperiksan itu terlalu umum dan sesetengah soalan itu tidak ada kaitan dengan skop tugasan seseorang dalam peperiksaan yang diambil.

Ahmad Shah berkata pertemuan itu juga membincangkan isu kenaikan pangkat untuk kakitangan sokongan dalam gred satu hingga 16.

Beliau berkata isu ini juga sedang dikaji oleh JPA.

Isu lain yang dibincangkan pada pertemuan yang dihadiri 30 anggota majlis eksekutif Cuepacs dan 20 pegawai JPA diketuai oleh ketua masing-masing, jawatan khas untuk penyandang, kontrak dan jawatan pegawai sementara dan isu gaji untuk guru pemegang diploma.

Mengenai pegawai kontrak, Ahmad Shah berkata tidak ada masalah pada peringkat persekutuan kerana kerajaan telah memutuskan bahawa perkhidmatan pegawai ini tidak akan ditamatkan.

Bagaimanapun, isu ini kritikal pada peringkat negeri kerana sesetengah kerajaan negeri belum lagi respon kepada pertanyaan Cuepacs.

Mengenai isu kenaikan pangkat untuk guru pemegang diploma, beliau berkata JPA memutuskan dengan apa sahaja yang diberikan oleh Kementerian Pelajaran.

Kini keputusan di tangan Kementerian Pelajaran untuk menyediakan cadangan dan input seterusnya mengenai isu ini, kata beliau.

Ahmad menyifatkan dialog itu sangat berhasil kerana banyak isu segera yang dihadapi perkhidmatan awam dibincangkan dalam suasana kemesraan.

— BERNAMA