SAYA tahu kerajaan membentangkan bajet mini. Tapi saya tidak tahu apa kesan langsungnya kepada saya. Saya cuma orang biasa dan juga dikelilingi oleh orang biasa yang mempunyai beberapa orang anak yang masih bersekolah dan tinggal di ibu kota.

Bagi yang tinggal di kampung-kampung, mereka ada tanah boleh tanam sayur, ternak ayam, itik, kambing sekurang-kurangnya dapat menampung keperluan bila masa duit terputus untuk membeli barang keperluan.

Dalam keadaan sekarang, kami sudah tidak terfikir untuk membeli kereta baru, sebab tidak mampu menanggung bayaran ansuran. Kami buat bajet sendiri di rumah. Makanan kami dicatu.

Golongan kami ada yang prokerajaan dan ada yang propembangkang, ada juga yang berkecuali. Tapi kami mengalami masalah yang sama, tak ada Yang Berhormat yang datang menjelaskan kepada kami mengenai keadaan ekonomi sekarang.
Banyak perkara yang saya tidak faham, antaranya :

– Kenapa kerajaan perlu beri subsidi RM480 juta kepada syarikat tol. Kerajaan sudah menolong pengguna dengan tidak menaikkan kadar tol, saya ucapkan terima kasih. Tapi mengapa syarikat tol tidak boleh berkorban dengan tidak mengambil RM480 juta itu?

– Kereta rakyat Malaysia semakin banyak menggunakan laluan tol. Mesti untung syarikat tol sudah banyak.

– Mahu balik kampung kerajaan galakkan naik kenderaan awam. Paling murah pun kami mampu naik bas. Harga tiket bas sekarang kalau balik Kelantan sudah lebih RM40 seorang. Bagaimana pula kami yang ramai anak ini? Kurang-kurang hampir RM200 untuk tambang sahaja.

Oleh itu lebih senang kalau balik dengan kenderaan sendiri lebih selesa. Di bandar kereta sudah menjadi keperluan asas terutama bagi mereka yang tempat kerja jauh dari rumah serta mereka yang yang mempunyai anak yang ramai.

– Tapi duit gaji habis untuk bayar minyak dan tol selain bayar ansuran kereta.

– Syarikat insurans pula tidak bolehkah bertolak ansur membantu kerajaan dan pengguna. Tidak bolehkah kurangkan bayaran insurans kereta ataupun lanjutkan tempoh insurans itu dari setahun ke dua tahun?

Bagi pihak berkenaan, tolonglah pantau harga keperluan terutama makanan yang tidak turun-turun.

Jangan pantau harga barang orang kaya saja. Buatlah senarai barang-barang yang diperlukan oleh orang biasa macam kami dan orang miskin di luar bandar. Barang-barang itulah yang perlu diturunkan harga dan diberi lebih banyak subsidi.

Coretan @ Luahan Oleh TokBogok