KUALA LUMPUR 17 Mac – Kira-kira 4,800 pelajar gagal menamatkan pengajian atau diberhentikan daripada Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) setiap tahun, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Dr Hou Kok Chung berkata jumlah itu merupakan 1.5 peratus daripada jumlah enrolmen setiap tahun sejak 2005.

Bagaimanapun, kadar peratusan itu tidak membimbangkan dan berada pada tahap lazim, katanya menjawab soalan Mohd Firdaus Jaafar (PAS-Jerai).

Kepada soalan Mohd Firdaus tentang kajian punca kegagalan pelajar dan berkemungkinan disebabkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU), Hou berkata Kementerian tidak menganggap AUKU sebagai salah satu faktor pelajar gagal ataupun diberhentikan.

Beliau berkata secara umumnya kegagalan pelajar menamatkan pengajian atau diberhentikan adalah kerana pencapaian akademik tidak memuaskan, gagal mendaftar kursus, menyambung pengajian di tempat lain, menipu kelayakan dan masalah disiplin. – Bernama