Harga gula mungkin dinaikkan selepas perayaan Tahun Baru Cina ini, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Shahrir Abdul Samad.

Katanya, kerajaan sedang mengkaji kemungkinan menaikkan harga gula berikutan harga barangan itu telah naik di pasaran antarabangsa.

“Sebanyak 80 hingga 90 peratus bekalan gula kita adalah dari luar negara. Kontrak pembekalan gula dari negara pengeluar telah tamat tahun lepas. Tahun ini kita ada kontrak baru dan harganya (gula) lebih tinggi daripada kontrak lama,” katanya, lapor Bernama.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Kempen Kesihatan dan Bahaya Gula di Butterworth hari ini.

Shahrir berkata melalui kontrak baru itu, jika harga gula kekal pada RM1.45 sekilogram, kerajaan terpaksa memberi subsidi untuk barangan itu.

“Sebelum ini kita tidak perlu membayar subsidi gula tapi kalau kita nak kekalkan harga gula pada harga sekarang, kerajaan perlulah membayar subsidi,” katanya sambil menjelaskan harga gula di negara ini ketika ini lebih rendah berbanding negara pengeluar gula.

Beliau berkata jika harga gula dinaikkan, kerajaan memberi jaminan akan melaksanakannya secara berperingakat.

“Jika naik (harga gula), kita akan lakukan secara berperingkat. Naik sedikit demi sedikit iaitu tiga atau empat bulan sekali,” katanya.

Beliau berkata kali akhir harga gula dinaikkan ialah tiga tahun lepas.

Malaysiakini.com