Hari ini, 23 Disember 2008 majlis Anugerah Khidmat Cemerlang (AKC) di kalangan kakitangan UTHM diadakan. AKC adalah satu insentif kerajaan sebagai motivasi kepada kakitangan awam yang telah memberikan perkhidmatan yang cemerlang dan menggalakkan kakitangan lain untuk mencapai tahap sedemikian. Sistem AKC adalah amat baik dan ia mempunyai garis panduan, kriteria dan prosedur tertentu.

Proses dimulakan dengan Ketua-ketua jabatan dan sub-unit telah diberi amanah melaksanakan penilaian bagi menentukan kakitangan yang layak menerima anugerah tersebut untuk mematuhi serta memenuhi hasrat kerajaan dalam melaksanakan AKC.

Apa yang penting dalam perlaksanaan AKC ini ialah kaedah pemilihan yang bertepatan dalam menentukan penerima anugerah. Cemerlang adalah suatu nilai dan ianya berkait dengan kemampuan melaksanakan tugas, kepentingan kerja yang dilakukan, kualiti produk yang dihasilkan dan authenticity dalam pekerjaan oleh seseorang kakitangan. Untuk menilai ‘cemerlang’, ianya memerlukan ketelusan, kejujuran dan keadilan.

SESUNGGUHNYA, objektif kepada satu sistem yang baik seperti AKC ini hanya dapat dicapai melalui proses perlaksanaan dan pemantauan yang efektif. Apa pun kami mengucapkan sekalung tahniah kepada penerima AKC 2007 dan Jasamu Dikenang 2008. Semoga dengan anugerah ini mendorong kita memberikan perkhidmatan yang lebih baik.