PETALING JAYA: Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) secara prinsip telah bersetuju untuk membatalkan rancangan memboikot ekoran persetujuan kerajaan menambah baiki kaedah Penilaian Tahap Kecekapan (PTK).

Di bawah penambahbaikan yang dipersetujui, kakitangan awam tidak akan dipaksa menduduki peperiksaan, kaedah yang dilaksanakan sejak enam tahun lalu.

“Sebaliknya kami dimaklumkan ada tiga hingga empat pilihan yang bakal diperkenalkan oleh kerajaan,” kata Presiden Cuepacs, Omar Osman beliau ketika dihubungi hari ini.

Dua opsyen dimaksudkan ialah menghadiri kursus dan temu duga penilaian.

Kedua-dua opsyen berkenaan akan mengambil kira pengalaman kakitangan terbabit.

“Unsur peperiksaan akan ada tapi tidak akan ditekankan sebaliknya kakitangan akan diberikan opsyen sama ada penilaian dalam bentuk peperiksaan ataupun bukan peperiksaan.

“Kaedah baru ini akan dilaksanakan berdasarkan perbincangan antara agensi dan kakitangan masing-masing,” katanya.

Jelas beliau, satu pekeliling mengenainya akan dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam waktu terdekat.

“Amnya Cuepacs bersetuju tetapi pendirian rasmi akan dibuat bulan depan apabila dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Kongres Cuepacs dan dengan meneliti pekeliling yang akan dikeluarkan,” katanya.

Bulan lalu, Cuepacs mengumumkan rancangan untuk memboikot PTK kerana mendakwa peperiksaan itu banyak memberi tekanan kepada anggota sektor awam.