Cuti tahunan bagi kakitangan perkhidmatan awam – lebih sejuta orang – akan dipotong lima hari mulai 1 Januari ini – keputusan yang menyebabkan Cuepacs kecewa dan terkilan.Bagaimanapun peraturan baru itu tidak diguna pakai ke atas polis, tentera, penguat kuasa maritim dan pegawai pelajaran.

Pada masa ini, kakitangan awam menikmati kelayakan cuti tahun sebanyak 30 hari.

Dengan keputusan baru itu, kakitangan dalam Gred 1 hingga 20 akan hanya menikmati 20 hari, Gred 21-30 (25 hari), Gred 31-54 (25 hari) dan Gred Pengurusan Tertinggi (25 hari).

Kemudahan itu meliputi tempoh perkhidmatan 10 tahun dan ke bawah.
OPSYEN

Bagaimanapun, mengikut undang-undang, semua kakitangan awam yang sedang berkhidmat akan diberikan opsyen untuk mengekalkan kelayakan mereka atau memilih kelayakan baru yang dikurangkan itu, kata Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Ismail Adam.

Beliau menyatakan demikian dalam Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 14 Tahun 2008 yang dikeluarkan baru-baru ini.

Pekeliling perkhidmatan itu bertujuan melaksanakan keputusan kerajaan mengenai kadar baru kemudahan cuti rehat tahunan kepada kakitangan awam mulai 1 Januari ini.

Kadar kelayakan cuti rehat bagi seseorang pegawai adalah tertakluk kepada tempoh perkhidmatan yang melayakkan iaitu tempoh perkhidmatan yang boleh diambil kira bagi tujuan pengiraan kelayakan mendapat cuti.

Kadar cuti rehat yang berkuat kuasa bagi kakitangan awam yang sedang berkhidmat adalah sebagaimana yang ditetapkan dalam Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 4 Tahun 2002 atau Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 20 Tahun 2005 atau pekeliling atau surat pekeliling atau peraturan lain yang berkaitan.

Borang opsyen akan dikeluarkan secepat mungkin kerana hari terakhir bagi membuat opsyen itu ialah 31 Disember.

“Mereka yang tidak mengembalikan borang opsyen itu menjelang tarikh itu akan dianggap memilih kelayakan sekarang,” katanya.
REAKSI CUEPACS

Sementara itu, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Omar Osman melahirkan rasa kecewa dan kesal dengan keputusan tersebut.

“Kami tidak diminta memberi pandangan dan tidak diajak mengadakan perbincangan terlebih dahulu.

“Kami kecewa dengan pengurangan cuti tahunan lima hari ini,” katanya.

Cuma, kata beliau, pihaknya diminta menghadiri satu pertemuan dengan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam di Putrajaya pagi esok.

“Kami akan membuat pendirian esok,” kata beliau sambil menambah, Cuepacs tidak pasti sama ada kerajaan bertindak demikian kerana mendapati cuti umum semasa terlalu banyak.

Dalam pada itu, Setiausaha Agungnya, Ahmad Shah Mohd Zin memberitahu Bernama, badan induak kesatuan sekerja awam itu mahu tahu rasional kepada pengurangan itu.

Jelas beliau, adalah tidak adil untuk mengurangkan kelayakan itu kerana untuk jangka panjang kakitangan awam baru akan kerugian.

Sebagai contoh, Ahmad Shah berkata, kemasukan baru ke dalam perkhidmatan awam yang berkhidmat selama 30 tahun, akan kerugian 150 hari yang bersamaan dengan lima bulan.

dari MstarOnline