Assalamualaikum,

Dari sekarang sehingga Disember tahun ini, dan hingga Februari tahun hadapan negara kita akan menerima curahan hujan yang banyak, dan ini biasanya akan menyebabkan banyak tempat dilanda banjir. Keadaan ini telah menyebabkan rakyat terpaksa menanggung kesusahan dan kerugian. Banjir yang berlaku ini memang ada kaitan secara langsung dengan jumlah hujan yang banyak yang sekarang sedang melanda rantau ini.

Tetapi tidak semua kejadian banjir disebabkan oleh hujan yang lebat. Yang kerap berlaku sekarang ialah kejadian banjir bukan sahaja disebabkan oleh hujan, tetapi disebabkan juga kegiatan manusia, atau aktiviti manusia. Apa yang jelas ialah kesan kegiatan manusia, atau kesan antropogenik ini memperhebatkan lagi kekuatan banjir.

Maksudnya, sebuah kawasan yang tidak menerima kesan antropogenik ini tidak mengalami banjir dengan kekuatan hujan yang biasa. Tetapi kawasan yang sama, dengan kekuatan hujan yang sama boleh dilanda banjir dengan teruk sekiranya kesan antropogenik ini memainkan peranan. Kesan antropogenik yang paling ketara di negara kita ialah penggondolan sesebuah kawasan, yang dulunya ditumbuhi pokok pokok dan pelbagai tumbuhan, tetapi kemudiannya menjadi benderang.

Pokok pokok dan tumbuhan memainkan peranan hidrologi yang penting, terutamanya menahan curahan hujan, dan kemudian membolehkan air hujan yang turun dipermukaan bumi diresap atau masuk ke dalam bumi. Inilah proses asli yang sangat penting dan sangat diperlukan terutamanya di kawasan kawasan kediaman.

Kebanyakan kawasan kediaman yang berbentuk taman atau bandar baru dicirikan dengan keadaan sebegini, dan ditambah pula dengan kekuatan proses luluhawa dan hakisan, masalah enapan atau sedimen pula terbabit sama. Inilah yang memburukkan lagi keadaan kerana longkang dan parit tersumbat memburukkan lagi banjir. Inilah yang sering kita alami sekarang.

Oleh itu, untuk memperbetul serta membaiki keadaan, cara asli adalah cara yang paling baik dan menjimatkan. Caranya ialah pokok pokok perlu dibiarkan memainkan peranan mereka yang asli dan yang sebenar, supaya kekuatan hujan dan kebanjiran air dapat dimoderasi oleh pokok dan tumbuhan. Pokok pokok hendaklah ditanam sebanyak yang mungkin di semua kawasan kawasan yang sering mengalami banjir.

Yang dilakukan sekarang ialah bukan menanam pokok, tetapi menebang pokok. Bukan membanyakkan pokok, tetapi menggondolkan sesebuah kawasan daripada ditumbuhi pokok. Bila kena banjir, komplen.

Sang pokok tu bila kena tebang, tak de pun dia komplen.

dari http://hamirdin.blogspot.com/