KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) merasa dukacita kerana dituduh mengugut berhubung isu Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) kakitangan kerajaan.

Presiden CUEPACS,Omar Osman berkata, kongres itu tidak berniat mengugut apabila berkata ia akan memboikot PTK jika peperiksaan itu diteruskan juga tahun depan.

“Apa yang disuarakan di Kota Kinabalu itu adalah keputusan kongres yang diluahkan oleh pegawai gred 17 hingga 44,” kata Omar ketika dihubungi di sini hari ini.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Ismail Adam dilaporkan sebagai berkata kerajaan tidak akan tunduk dengan desakan CUEPACS untuk memansuhkan sepenuhnya PTK dan mahu kepemimpinan tertinggi kesatuan itu berhenti membuat sebarang ugutan.

Kesatuan Kakitangan Universiti Utara Malaysia (KESKA UUM) hari ini turut menyokong tindakan yang bakal diambil oleh CUEPACS.

“Kenyataan Presiden CUEPACS itu bukan ugutan tetapi merupakan suara hati kirakira 1.2 juta kakitangan awam di negara ini.

“Keputusan itu dicapai selepas perbahasan hangat selain CUEPACS sendiri telah mempejuangkan selama lima tahun supaya PTK digantikan dengan mekanisma penilaian kakitangan yang lain,” kata Setiausaha Kehormat KESKA UUM, Samsudin Oli Mohamed.

Dalam pada itu, CUEPACS akan mengadakan kempen bergerak di seluruh negara mulai bulan depan bagi menjelaskan kepada kakitangan awam mengenai rasional di sebalik rancangan memboikot peperiksaan PTK.

Omar menjelaskan, peperiksaan PTK yang tidak popular itu menjadi bahan perbalahan di kalangan kakitangan awam sejak ia diperkenalkan kerana peperiksaan itu tidak mencapai objektifnya.

Semalam, beliau mengumumkan tindakan CUEPACS memboikot peperiksaan PTK jika ia tidak dimansuhkan tahun depan kerana tidak berpuas hati dengan respon dingin oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) terhadap isu itu.

Peperiksaan PTK itu wajib diduduki oleh kakitangan awam yang ingin dipertimbangkan untuk kenaikan pangkat.

Bagaimanapun, Omar berkata amalan itu tidak menjamin calon yang lulus peperiksaan PTK dinaikan pangkat kerana ia bergantung kepada kekosongan jawatan.

Kajian rambang Bernama telah mengesahkan dakwaan Omar bahawa tidak ada kepastian calon yang lulus peperiksaan PTK akan dinaikkan pangkat.

Seorang pegawai kerajaan, yang tidak mahu namanya disiarkan, berkata beliau telah lulus peperiksaan PTK dua tahun lepas dan masih menunggu peluang untuk dinaikkan pangkat.

“Hakikatnya, paling mengecewakan pegawai bawahan saya telah dinaikkan pangkat dan kini menikmati skim gred gaji yang tinggi manakala tanggungjawab dan bebanan kerja saya semakin berat,” katanya.

Sementara itu, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), sebagai ahli terbesar dalam CUEPACS, berkata rancangan CUEPACS untuk memboikot peperiksaan PTK sepatutnya sebagai langkah terakhir.

Walaupun bersetuju bahawa PTK tidak mencapai objektif yang diinginkan, setiausaha agungnya Lok Yim Pheng berkata kaedah pilihan perlu dicadangkan terlebih dahulu sebelum rancangan memboikot digalakkan.

Katanya NUTP akan mengadakan sesi sumbang saran secepat mungkin untuk mencari alternatif baru.

Dalam pada itu, Kesatuan PekerjaPekerja Bernama (KPPB) menyokong tuntutan CUEPACS agar PTK dimansuhkan.

“CUEPACS melakukan tindakan yang betul bagi menjaga kepentingan kakitangan kerajaan. Kami berpendapat kerajaan perlu duduk dengan wakilwakil kakitangan awam untuk mencari penyelesaian yang sesuai dalam isu ini,” kata Yang Dipertua KPPb, Minggu Simon Lhasa, di sini hari ini.

Dalam kenyataannya, beliau berkata terdapat banyak kelemahan dalam pelaksanaan peperiksaan PTK serta menjejaskan moral pekerja awam dalam kumpulan rendah.Katanya rancangan memansuhkan peperiksaan PTK dapat menjimatkan wang kerajaan kerana setiap tahun berjutajuta ringgit dibelanjakan untuk tujuan kursus, mengadakan peperiksaan dan mengupah konsultan luar, katanya.

Dari mstar online

Lagi berita di http://cuepacs.blogspot.com/