Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu budaya penyelenggaraan peralatan secara kerap diterapkan dalam setiap organisasi, terutama yang mempunyai peralatan canggih dan mahal kerana amalan itu akan menjimatkan kos dan mengelak kerosakan yang akan memerlukan pembaikan.

Selain itu, Perdana Menteri berkata, setiap organisasi dan kakitangan di semua peringkat juga mesti sentiasa mengamalkan integriti supaya kecemerlangan dapat terus dipertingkatkan.

Beliau yang juga Menteri Pertahanan berkata, melalui penyelenggaraan dan penjagaan rapi terhadap setiap peralatan, ia akan dapat digunakan pada bila-bila masa tanpa risau atau ragu-ragu mengenai kemampuannya.

“Sebab itu kita sediakan peruntukan yang besar untuk penyelenggaraan… jika tidak, akan berlaku kerosakan dan ia tidak dapat digunakan. Kemudian akan timbul cadangan supaya beli yang baru dan ini tentunya memerlukan perbelanjaan besar serta merugikan.
“Penyelenggaraan secara kerap perlu diamalkan, penyelenggaraan menjimatkan kos. Walaupun kita sediakan peruntukan penyelenggaraan besar, ia akan selamatkan kita daripada kos yang lebih besar akibat penyelenggaraan yang lemah,” katanya ketika berucap pada perhimpunan bulanan Kementerian Pertahanan di padang kawad kementerian itu, di sini semalam.

Turut hadir Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Abu Seman Yusop; Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Abu Bakar Abdullah dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Abdul Aziz Zainal.

Mengenai integriti, Abdullah berkata ia perlu menjadi amalan setiap kakitangan organisasi untuk memastikan organisasi berkenaan mempunyai kewibawaan, kecekapan dan beramanah dalam melaksanakan tanggungjawab.

Katanya, organisasi dibina oleh ahli yang berintegriti kerana walaupun hanya disebabkan oleh seorang yang tidak berintegriti, nama baik organisasi atau pasukan boleh terjejas.

“Ini bukan saja untuk tentera tetapi semua perkhidmatan, bukan saja untuk yang berpangkat, malah anggota biasa. Ada yang berpangkat tetapi menipu dan melakukan rasuah yang mencemar nama baik organisasi,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, integriti mesti menjadi milik semua dengan menjadikannya sebagai amalan dan budaya supaya dengannya individu dan organisasi akan berada di puncak tinggi.

Katanya, angkatan tentera negara ini yang berkhidmat di bawah panji Pasukan Pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menerima banyak pujian daripada negara luar, dan rakyat seperti di Bosnia-Herzegovina dan Somalia amat menghormati tentera Malaysia.

Beliau berharap kecemerlangan dan kejayaan seperti itu yang menjadi kemegahan negara, akan terus wujud dari generasi ke generasi.

Sumber Berita Harian