Alexandra Palace, London – Hasil penyelidikan UTHM terus berjaya mendapat pengiktirafan di peringkat dunia apabila 4 produk hasil penyelidikan UTHM yang menyertai British Invention, Innovation and Technology Show 2008 (BIS’08) pada 15 hingga 18 Oktober 2008 di Alexandra Palace, London telah berjaya diiktiraf menerima 3 pingat emas dan satu pingat perak. Penyertaan adalah daripada Prof. Madya Dr. Mohd. Idrus, En. Erwan Sulaiman dan En. Mohd Fauzul Azim Mohd Zin. Kejayaan ini bertambah manis lagi apabila produk Modified Grouting Polymer (M.G.P) yang diketuai oleh Prof. Madya Dr. Mohd Idrus bin Mohd Masirin turut dinobatkan sebagai penerima Special Award-Double Gold bagi kategori consumer. Penyertaan UTHM dalam BIS’08 ini adalah kali yang pertama dan kemenangan yang diperolehi jelas menunjukkan bahawa kualiti hasil penyelidikan UTHM semakin mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa.

Selain itu, produk Solar CHEF iaitu sebuah alat memasak menggunakan tenaga solar yang berjaya mendapat pingat emas turut mendapat publisiti meluas media tempatan di United Kingdom apabila produk berkenaan telah dirakam dan disiarkan secara langsung oleh pihak BBC untuk siaran televisyen di London.

Kemenangan ini juga turut menambahkan kutipan pingat keseluruhan penyertaan UTHM dalam dua pertandingan penyelidikan di peringkat antarabangsa bagi tahun 2008 iaitu 3 emas, 2 perak dan 3 gangsa.

Seluruh warga UTHM ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada semua pemenang pingat serta semua pihak yang telah banyak membantu menjayakan penyertaan UTHM ke BIS’08.

Semoga kemenangan ini akan meningkatkan lagi usaha dan komitmen semua pihak dalam menghasilkan penyelidikan bertaraf dunia untuk kemakmuran sejagat.