Pada masa ini sedang kerap diperkatakan tentang kes-kes jangkitan Chikungunya di beberapa buah negeri di Malaysia. Untuk makluman, sehingga 30 Julai 2008 jumlah kes yang dilaporkan adalah sebanyak 631 kes yang melibatkan 20 lokaliti di empat (4) buah negeri iaitu Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan Perak, dan tiada sebarang kematian dilaporkan.

Majoriti kes-kes ini dikesan melalui aktiviti pemeriksaan kesihatan di rumah yang dijalankan oleh anggota Kementerian Kesihatan. Hanya 15 pesakit (2.4%) yang memerlukan rawatan pesakit dalam di hospital akibat demam panas dan sakit sendi yang teruk, majoriti pesakit yang lain memerlukan rawatan pesakit luar sahaja.Daripada jumlah kes yang dilaporkan, sebanyak 136 kes (21.6%) telah disahkan positif.

Penyakit Chikungunya adalah penyakit yang disebabkan oleh jangkitan virus Chikungunya yang disebarkan oleh gigitan nyamuk Aedes, yang juga pembawa virus demam denggi. Tanda-tanda utama  jangkitan penyakit ini adalah seperti demam panas mengejut, rasa sakit yang teruk pada sendi terutamanya sendi kecil dan ruam pada badan. Majoriti kes adalah ringan dan ‘self limiting’ ataupun sembuh dengan sendiri. Kebiasaannya jangkitan Chikungunya tidak menyebabkan perdarahan atau kematian. Kebanyakan pesakit mengalami sakit sendi yang tidak berlarutan, walaupun begitu pesakit yang berumur boleh mengalami kesakitan berulang pada sendi sehingga beberapa bulan atau tahun. Penyakit Chikungunya mungkin disalah anggap sebagai denggi disebabkan tanda-tanda klinikal yang menyerupai demam denggi. Sepertimana jangkitan virus yang lain, setakat ini masih tiada ubat khusus untuk merawat atau vaksin yang boleh mencegah penyakit ini daripada terjadi. Rawatan yang diberikan adalah simptomatik. Kemasukan ke hospital hanyalah pada keadaan tertentu sahaja. Pesakit yang dijangkiti kebiasaannya akan mempunyai imuniti sepanjang hayat dan tidak akan dijangkiti semula.

Pihak Kementerian Kesihatan telah mengambil langkah-langkah yang perlu untuk mengawal penyebaran penyakit ini bagi kes yang telah dilaporkan. Selain daripada aktiviti pengesanan kes secara aktif, langkah-langkah kawalan vektor seperti semburan kabus dan ‘larviciding’ telah dijalankan di lokaliti-lokaliti terbabit. Aktiviti pendidikan kesihatan juga telah dijalankan melalui perbincangan, nasihat kesihatan dan pengedaran risalah-risalah mengenai penyakit ini. Untuk makluman, kes jangkitan telah diisytiharkan tamat atau tiada kes baru dilaporkan di 17 lokaliti. Tiga (3) lokaliti lagi adalah baru dilapor dan tindakan kawalan telahpun diambil.  Sehubungan dengan itu, pihak kementerian juga menyeru orang ramai untuk mengambil langkah-langkah untuk mengurangkan pembiakan nyamuk di persekitaran masing-masing dan mengelakkan diri daripada gigitan nyamuk. Langkah – langkah yang perlu diambil oleh orang ramai termasuklah:

  • Memusnahkan kawasan pembiakan nyamuk dengan memastikan kawasan rumah dan persekitarannya sentiasa bersih dengan membuat pemeriksaan sekurang-kurangnya seminggu sekali.
  • Bubuh racun pembunuh jentik-jentik di bekas takungan air yang sukar untuk dikosongkan seperti tangki air utama dan tandas.
  • Memakai pakaian berwarna putih / terang dan berlengan panjang atau seluar panjang / kain labuh untuk mengelakkan daripada gigitan nyamuk
  • Menggunakan repelen / bahan penghalau serangga apabila melakukan aktiviti di luar rumah
  • Elakkan melakukan aktiviti di luar rumah semasa nyamuk aktif menggigit di waktu subuh dan senja.
  • Mendapatkan rawatan dengan segera di klinik atau hospital terdekat sekiranya mengalami tanda dan gejala jangkitan

Maklumat lanjut mengenai penyakit ini boleh diperolehi daripada laman web kami www.moh.gov.my . Sebarang pertanyaan boleh dikemukakan kepada kami di talian 03-8881 0600/0700.

Lokaliti

Daerah/ Negeri

Laporan kes

Bilangan Kes

Situasi terkini

Kes pertama

Kes akhir

Kg Ulu Choh / Gelang Patah

JB, Johor

08.03.08

26.04.08

165

Wabak tamat

Kg Simpang Arang

JB, Johor

18.06.08

20.06.08

25

Wabak tamat

Ladang Voules

Segamat, Johor

02.06.08

19.06.08

64

Wabak tamat

Kg Ulu Pulai

Pontian, Johor

02.06.08

20.06.08

36

Wabak tamat

Felda Bukit Besar

Kota Tinggi

01.05.08

05.06.08

27

Wabak tamat

Kg Baru 1 & 2 , Taman Sentosa

(Tangkak ) Muar, Johor

13.06.08

13.06.08

3

Terkawal. Tiada kes baru dilaporkan.

Parit Sulong

Batu Pahat

28.06.08

29.06.08

3

Terkawal. Tiada kes baru dilaporkan.

Pekan Nenas

Pontian, Johor

21.06.08

21

Terkawal. Tiada kes baru dilaporkan.

Mukim Lengga

Muar, Johor

11.07.08

1

Terkawal. Tiada kes baru dilaporkan.

Kg.Teratai, Kg. Sawah

Muar, Johor

16.06.08

08.07.08

8

Terkawal. Tiada kes baru dilaporkan.

Kg. Bukit Bendar

Muar, Johor

14.07.08

18.07.08

7

Lokaliti baru. Pemantauan dijalankan

Jumlah lokaliti di Johor : 11

JUMLAH

360