Pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang dicadangkan kerajaan untuk dibentangkan sesi Dewan Rakyat akan datang tidak akan membantu meluaskan ruang kebebasan kepada ahli akademik dan pelajar, kata seorang pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

“Masalah di universiti ini, penguasaan golongan pentadbir yang lebih senduk daripada kuah,” kata pensyarah kanan di jabatan sains politik UKM Dr Ahmad Nidzamuddin Sulaiman.

“AUKU tidak apa. (Persoalanya) pegawai yang cenderung kepada parti (kerajaan) berubah atau tidak?”

Beliau menambah, kebebasan di universiti tidak bergantung kepada pindaan AUKU, sebaliknya “sebahagian pentadbir yang prokerajaan mengambil sikap mengawal aktiviti pelajar dan pensyarah”.

Dr Ahmad Nidzamuddin berkata, jika pentadbir universiti tidak bersikap memihak, kebebasan di universiti akan lebih baik.

Pindaan AUKU, tambahnya, jika ingin benar-benar berkesan harus menilai cara penguasaan golongan ini di universiti.

Pelajar dan pensyarah yang menganjurkan aktiviti melibatkan pembangkang akan “dipanggil menghadap” dan diberikan amaran, jelasnya.

Bagaimanapun, menurut pensyarah politik itu lagi, dalam pertemuan pentadbir dengan kakitangan akademik itu, tidak ada apa-apa tindakan diambil.

“Cuma, kalau banyak kali panggil, tidak berani buat lagi,” katanya.

Bagi pelajar pula, kata Dr Ahmad Nidzamuddin, permohonan menyambung tinggal di asrama tidak diberikan.

dari malaysiakini