Penjawat awam di UTHM perlu mengamalkan sifat berbudi bahasa di dalam menjalani kehidupan seharian. Sifat mulia lahir daripada ucapan seperti memberi salam atau menuturkan kata-kata yang baik, serta meliputi sikap menghormati orang lebih tua, menolong insan lemah dan berpakaian sopan.

Sikap berbudi bahasa ketika melayan pertanyaan menjadi elemen tambahan dalam meningkatkan mutu perkhidmatan awam itu sendiri. Saban masa kita mendengar rungutan terhadap layanan kurang baik yang diberikan sesetengah kakitangan UTHM terhadap perkhidmatan mereka.

Kadangkala panggilan yang dibuat tidak berjawab atau dijawab secara acuh tidak acuh atau dengan nada kasar. Ini antara kes yang sering kita hadapi, menggambarkan kurangnya sifat sopan santun dan berbudi bahasa di kalangan sesetengah kakitangan UTHM.

Sikap berbudi bahasa boleh mewujudkan hubungan baik di antara semua staf di semua PTj. Bukanlah sesuatu yang merugikan sekiranya staf UTHM melayani setiap aduan dan pertanyaan dengan muka manis terutama di kaunter atau mengucapkan kata-kata ringkas seperti “bolehkah saya bantu encik!”

Layanan mesra seperti ini sudah tentu dapat menyejukkan hati sesiapa sahaja yang mungkin berada dalam situasi yang tertekan.

Pensyarah yang mempamerkan budi bahasa tinggi sudah tentu dapat melahirkan pelajar berakhlak mulia kerana mereka mempunyai pengaruh kuat terhadap pelajar, selain ibu bapa dan rakan sebaya.

Oleh itu, tidak hairanlah ada pepatah Melayu menyatakan jika gurunya kencing berdiri sudah tentu muridnya kencing berlari. Pensyarah mestilah menjaga tutur kata, pergaulan, berpakaian sopan supaya dapat menjadi contoh baik kepada pelajar.

Staf yang berurusan secara langsung di kuanter perlu mempunyai budi bahasa dan kesopanan yang tinggi. Segala aduan walaupun daripada golongan staf bawahan hendaklah diberi perhatian dan dilayan dengan baik. Mereka juga hendaklah bertindak pantas kepada setiap laporan yang diberikan walaupun pelapor adalah berjawatan tinggi atau tidak.

Sebagai contoh staf yang bekerja di perpustakaan dan kerap dikunjungi pelanggan iaitu pelajar. Adakah kita pernah lihat staf itu greeting setiap kali pelajar masuk ke perpustakaan atau pun pergi ke kaunter semasa meminjam atau memulangkan buku. Adakah pustakawan yang memberi khidmat nasihat mudah melemparkan senyuman tatkala pelanggan iaitu pelajar membuat urusan dengan mereka. Begitu juga dengan kaunter di bendahari dimana pelajar ingin membayar yuran dan sebagainya. Adakah kita juga sering nampak staf yang ditugaskan untuk menjaga kaunter di setiap fakulti murah dengan senyuman dan pantas untuk memberi perkhidmatan kepada pelajar tanpa membuat pelajar tertunggu-tunggu atau dengan kata lain tercengang-cengang. Di pejabat HEP, PPA dan lain-lain apakah keadaan yang sama berlaku. Ini semua adalah sebagai contoh dan bukan menunding jari kepada pusat atau pejabat tertentu sahaja.

Daripada rakan yang belajar di Jepun saya diberitahu bahawa boleh dikatakan perkhidmatan pelanggan disana jika nak dibandingkan dengan Malaysia bagaikan langit dan bumi. Begitu juga situasi di jabatan-jabatan kerajaan di Jepun yang mana tahap kemesraan pelanggan menyamai firma firma swasta yang lain. Tetapi bagaimana dengan Malaysia khususnya UTHM.

Golongan pentadbir yang menjadi penggerak sesuatu fakulti, pusat, pejabat atau unit hendaklah mempunyai kesopanan yang tinggi di dalam memimpin organisasi mereka. Pentadbir yang baik budi bahasanya tentu akan disenangi orang bawahan berbanding pentadbir yang sering tidak menghormati mereka.

Kesannya, sudah tentu akan melahirkan suasana kerja yang harmonis dan kondusif dan bermotivasi di dalam melaksanakan tugas yang diberikan. Akhirnya, ketiga-tiga pihak iaitu pentadbir, pekerja dan pelajar akan mendapat manfaat daripada sifat yang terpuji ini.

Bukanlah menjadi sesuatu perkara yang sukar untuk melahirkan staf UTHM yang bertanggungjawab dan berbudi bahasa kerana sifat semula jadi rakyat Malaysia telah diasuh dan diajar untuk berbudi bahasa sejak kecil. Ia adalah warisan yang perlu dipertahankan. Malah kita perlu menonjolkan sehingga menjadi ‘trade mark’ kepada jentera pentadbiran UTHM.

Adaptasi daripada sebuah laman web