Angkatan Muda Keadilan Selangor mempertikaikan agenda perjuangan PERKASA yang kononnya berjuang untuk orang Melayu. Motif yang diperjuangkan kononnya untuk membela nasib orang Melayu dengan mengadakan demontrasi jalanan dan menyemai sentimen perkauman secara melampau mengundang pelbagai persoalan. Malahan sasaran terpilih PERKASA yang hanya dilihat vokal dan lantang hanya di negeri-negeri yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat menjadi suatu misteri.
Demontrasi dan memorandum bantahan yang dikemukakan adalah sekadar gimik politik murahan yang dipimpin oleh ahli politik yang semakin dipinggirkan. Isu untuk memperjuangkan nasib bangsa Melayu juga seolah-olah hanya wujud di negeri-negeri Pakatan Rakyat sedangkan PERKASA perlu tegas dan berani membawa tuntutan kepada kerajaan pusat yang kini di bawah UMNO/BN.
AMK Selangor juga mempertikaikan untuk apa adanya PERKASA sedangkan hak dan keistimewaan orang-orang Melayu telah termaktub dan dijamin di dalam Perlembagaan Persekutuan. Malahan isu mengenai kedaulatan Raja-Raja Melayu yang kononnya PERKASA perjuangkan sebenarnya lebih banyak terhakis hilang hak keistimewaan tersebut di bawah pemerintahan UMNO/BN semenjak 50 tahun.
PERKASA ingin dilihat kononnya berjuang membela nasib orang-orang Melayu yang katanya kian terpinggir. Namun, ia sebenarnya lebih sekadar gimik dan modal politik yang diperkudakan untuk meraih populariti di kalangan orang-orang Melayu apabila jelas UMNO kini semakin ditolak oleh rakyat dan orang-orang Melayu sendiri. Adalah ditegaskan jika benar PERKASA mahu membela nasib orang Melayu desakan kuat dan tuntutan perlu disasarkan kepada parti pemerintah negara ini yang mana gagal membangunkan dan memperkasakan kekuatan bangsa Melayu daripada aspek ekonomi, sahsiah, minda dan politik sejak 50 tahun lepas.
Generasi muda kini melihat agenda politik berjuang sekadar untuk membela nasib sesuatu kaum adalah bersifat untuk kepentingan sendiri dan elit-elit tertentu. Sedangkan agenda memperkasakan rakyat pelbagai bangsa dan agama di negara ini perlu menjadi keutamaan bagi memastikan negara ini hidup bersama secara harmoni dan berkasih-sayang. Malahan agenda pembanterasan jenayah rasuah dan memperkukuh nilai keadilan dalam pentadbiran adalah keutamaan untuk membina negara ini memacu pertumbuhan dan kemakmuran negara.
Kewujudan PERKASA itu sendiri yang cuba menjadi alternatif kepada perjuangan UMNO apabila parti itu gagal memainkan peranan utamanya semakin banyak kelihatan. Rasa muak rakyat kepada politik UMNO yang ditunjangi oleh gejala politik wang dan kelemahan idea gagasan besar menyebabkan agenda pembaharuan negara tidak berjalan dengan lancarnya. Yang pasti, PERKASA adalah perkakas kepada UMNO jika dilihat mirip dan modus operandi apa yang kononnya diperjuangkan. Justeru rakyat diharap tidak mudah terperangkap dengan agenda mereka kerana tujuan dan motif perjuangan mereka amat kabur dan mengelirukan.
Kita mempertikaikan apa motif PERKASA yang hanya lantang di negeri-negeri Pakatan Rakyat tetapi membisu, lesu dan kaku apabila berada di negeri-negeri di bawah kerajaan UMNO/Barisan Nasional. Ke manakah suara pembelaan PERKASA apabila melihat nasib Bahasa Melayu semakin dipinggirkan? Ke manakah pembelaan PERKASA tatkala undang-undang Islam dipermain-mainkan apabila Mahkamah Syariah dianggap tidak setaraf dengan Mahkamah Sivil? Ke manakah suara-suara vokal PERKASA apabila pemimpin-pemimpin tertinggi UMNO yang berbangsa Melayu terpalit dengan pelbagai skandal moral, rasuah dan penyelewengan kuasa?
Justeru, AMK Selangor sekali lagi mengingatkan agar rakyat bijak dan pintar menilai agenda sempit yang dibawa oleh PERKASA dari masa ke masa. Mereka berjuang kerana apa dan untuk apa sedangkan sudah sekian lama hak dan keistimewaan orang-orang Melayu sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan sejak sekian lama. Bangsa Melayu kian terpinggir dalam dunia persaingan sejagat berpunca antara lain kegagalan UMNO sendiri selaku pentadbir negara selama 50 tahun ini gagal menterjemahkan Islam sebagai cara hidup atau “Ad-Deen” serta tidak melaksanakan ajaran Al-Quran dan Sunnah sepenuhnya di negara ini.
Akhirnya, kita menggesa agar suara-suara vokal dan lantang PERKASA juga hebat di negeri-negeri yang ditadbir oleh Barisan Nasional. Isu pembelaan Melayu tidak boleh bersifat selektif yang didakwa kononnya hanya wujud di negeri-negeri Pakatan Rakyat. Malahan perlu hebat dan gah juga suara-suara pembelaan kepada bangsa-bangsa lain. Ingatlah jika Melayu dan Islam adalah asas kepada hubungan akrab persaudaraan sebangsa dan seagama, berlainan agama dan bangsa adalah asas hubungan akrab persaudaraan sesama manusia pula.
*Kenyataan media oleh Mohd Ezli Mashut selaku Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan Selangor.


7 comments
Sumber komen-komen untuk artikel ini
Februari 18, 2010 pada 1:55 am
uthmdehati
Salam Sejahtera…
Minta maaf ada elemen politik pulak. Tetapi sebenarnya posting ini untuk mendapatkan feedback mengenai perbezaan antara PERKASA yang memperjuangkan orang melayu dan PERKASA yang memperjuangkan staf Akedemik di Universiti Kita ?
Februari 18, 2010 pada 10:55 am
hj omar kedekut
beza PERKASA yang memperjuangkan staf akademik di UTHM adalah belom memaparkan surat bantahan mengenai tambang gantian 30 sen dan resit tol yang tak dikira dalam membuat tuntutan tapi pihak bendahari nak resit tol tu jugak…
come on la.. nak p kene lalu highway.. tapi resit tol tak nak kira… bila cakap lalu jalan biasa tak percaya pulak…
Februari 18, 2010 pada 12:54 pm
Mafia Hitman
Macamana pulak PENTAS….kalau susah2 PEKIDA…huhuhuhuhu…..
Februari 19, 2010 pada 11:20 am
Bukan Staf Bendahari
Salam.
@hj omar kedekut & lain-lain, kita cadangkan pihak bendahari keluar bajet pasang sistem pengesan pada semua kereta/motor staf. Jadi kita tahu staf kita guna lebuhraya atau guna jalanraya atau guna hantu raya bila buat kerja rasmi universiti. Maka tak perlu tunjuk resit tol atau resit pajak gadai lagi.
Atau, pihak bendahari keluar pekeliling, lepas ini semua pergerakan rasmi dalam/luar negara atau keluar/masuk planet Bumi atas tanggungan poket staf sendiri. jadi tak perlu susah-payah isi borang lagi. Jimat kertas dan jimat masa melayan kerenah birokrasi pejabat Bendahari.
Hidup birokrasi…!
Hidup bendahari…!
Mac 1, 2010 pada 9:31 am
KopiKluang
Atau…
Ayat yang biasa keluar dari Mulut mereka… BEKERJA KERANA ALLAH…..
Mac 27, 2010 pada 8:07 am
hitler junior
parti PERKASA ni tak seharusnya wujud.. kerana.. perjuangan parti ini kurang jelas dan samar-samar.. lambat laun rakyat dapat menilai.. kenape la ibrahim ali ni suka jugak nak kecoh-kecoh buat kecoh.. parti PERKASA ini umpama parti perkauman mcm HAM-NO la katakan tetapi.. sebagai parti yg memegang tiket nama “BEBAS” .. tidak seharusnya ia berhaluan sedemikian.. sebagai “BEBAS” ia seharusnya berfungsi untuk menjadi mata, telinga dan mulut untuk rakyat.. kalau sekadar nak kacau pilihan raya umum baik tak payah lah PERKASA.. engkau akan musnah jua akhir nya.. lihat lah.. selantang-lantang perkasa mana pun pasti akan musnah jua.. BEBAS not for PERKASA.. BEBAS is for SOCIALIST!.. PERKASA is not SOCIALIST. meluat aku tengok PERKASA ni.. bodoh betul..
Mac 29, 2010 pada 11:43 am
Mafia Hitman
Kalau bekerja kerana Allah, tak payah nak pening2 mintak bonus tiap tahun, pelarasan gaji dsb……kerja tak yah claim milage, OT, lojing dsb………………
Rezeki di tangan Allah, ulat dalam batu boley hidup maaa……….
suruh orang yang bercakap tu buat, jangan tahu bercakap tapi tak tahu buat……
macam burung tiong………….