SALAH satu tradisi Melayu yang masih subur dalam masyarakat Malaysia, tanpa pengecualian kaum dan agama, ialah penggunaan gelaran. Semakin tinggi kedudukan seseorang dalam masyarakat, maka semakin tinggi pula gelarannya, bermula ‘Datuk’ sehingga ‘Tun’ dianugerahkan pihak istana.

Malah, pangkat dalam sesuatu perkhidmatan biasanya disetarakan dengan gelaran tertentu. Sebagai contoh panglima angkatan tentera walaupun berpangkat jeneral empat bintang, tidak dipanggil ‘jeneral’ tetapi Tan Sri. Biarpun demikian, berbeza dengan masyarakat feudal tulen, banyak juga rakyat Malaysia berhasrat mendapat gelaran lain diperoleh menerusi institusi profesional seperti ‘Ir’ untuk jurutera atau ‘Ar’ untuk arkitek. Umat Islam pula prihatin dan memberi penghormatan kepada mereka yang sudah mengerjakan ibadah haji yang dimurnikan lagi dengan panggilan ‘tuan haji’.

Sebahagian kecil orang awam juga berminat mendapat gelaran pangkat dalam tentera, khususnya menerusi pasukan askar wataniah. Sebagai makluman, secara tradisi semua naib canselor universiti awam adalah komandan Palapes berpangkat kolonel kehormat.

Paling prestij ialah gelaran berkaitan pencapaian akademik seperti ‘doktor’ dan ‘profesor’. Gelaran ‘doktor’ khas kepada kelayakan akademik dalam bidang perubatan atau ijazah setara doktor falsafah (misalnya ‘doktor kejuruteraan’, ‘doktor sains’ dan sebagainya).

Kedua-dua gelaran doktor itu tidak mudah diperoleh, mengambil masa dan tidak sedikit yang gagal. Pada minggu depan, banyak universiti awam tempatan akan memulakan sesi suai kenal untuk mahasiswa sesi akademik baru. Ternyata, seperti tahun sebelumnya, bidang perubatan menjadi pilihan utama di kalangan pelajar cemerlang.

Selain menyediakan peluang kerjaya mencabar, semua graduan bidang berkenaan akan bergelar ‘doktor’. Pengajian doktor falsafah juga semakin berkembang di universiti tempatan. Di UTM saja sebagai contoh, jumlah mahasiswa PhD sudah menjangkau 2,000 orang, berbanding tidak sampai 10 orang pada 1990.

Perkembangan ini selari dengan Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara untuk melahirkan 100,000 penyandang PhD, 75 peratus staf akademik berkelayakan PhD dan mencapai sasaran 50 saintis dan penyelidik bagi setiap 10,000 tenaga kerja.

Gelaran ‘profesor’ pula lebih sukar dan pelbagai. Penganugerahan profesor di Malaysia terbahagi kepada empat kategori iaitu ‘profesor’, ‘profesor adjung’, ‘profesor emeritus’ dan ‘profesor diraja’. Profesor adjung dianugerahkan kepada staf bukan akademik yang banyak memberi sumbangan kepada perkembangan ilmu sesuatu bidang ilmu.

Biasanya gelaran itu diberikan kepada tokoh perunding, penyelidik dan pentadbir yang banyak membantu sesebuah universiti dalam sesuatu inisiatif atau program khas berkaitan pengembangan ilmu. ‘Profesor emeritus’ dianugerahkan kepada bekas profesor terkemuka yang sudah menamatkan perkhidmatan di sesebuah universiti.

Sesetengah universiti menetapkan tempoh minimum perkhidmatan jawatan sebagai profesor, biasanya paling kurang 10 tahun. Namun, gelaran ‘profesor emeritus’ diperoleh secara automatik selepas persaraan seseorang profesor di beberapa negara seperti Sweden dan Denmark.

Malah, gelaran lain seperti dekan emeritus dan rektor emeritus juga digunakan dengan meluas di negara berkenaan menandakan status dan ranking seseorang ahli akademik. Profesor diraja adalah khusus kepada Malaysia untuk profesor status tertinggi dianugerahkan Yang di-Pertuan Agong.

Pada prinsipnya gelaran ‘profesor’ diperoleh menerusi kecemerlangan akademik kepada staf universiti. Staf bukan akademik tidak layak mendapat gelaran profesor. Dari segi perkhidmatan, ‘profesor’ ialah nama pangkat dalam urutan perjawatan akademik bermula dengan tutor, pensyarah, pensyarah kanan, profesor madya dan profesor.

Seperti perkhidmatan lain, profesor juga mempunyai tahap bermula dengan Profesor Gred VK7 atau setara Jawatan Utama Perkhidmatan Awam C (Jusa C), Gred VK6 (Jusa B) dan Gred VK5 (Jusa A).

Dari segi amalan, hampir semua universiti di dunia menggunakan kaedah penilaian rakan sebidang (peer review) untuk mengesahkan pencapaian akademik seseorang calon profesor. Penilaian utama ditumpukan kepada sumbangan akademik dari segi impak penerbitan dalam jurnal terkemuka, buku, jumlah rujukan (citation), penyeliaan mahasiswa peringkat ijazah PhD dan sarjana, program penyelidikan, harta intelek dan komitmen dalam aktiviti ilmiah peringkat antarabangsa.

Sumbangan dari segi pentadbiran juga diberi penilaian tetapi tidak menjadi kayu ukur utama. Hal ini perlu diberi perhatian kerana kecemerlangan akademik banyak dipengaruhi ketokohan, komitmen dan reputasi profesor di sesebuah universiti.

Dari segi tradisi dan institusi, sesebuah universiti bukan terletak kepada ciri fizikal seperti bangunan, makmal atau kemudahan komputer. Universiti adalah komuniti intelektual yang diketuai sekumpulan profesor untuk sama-sama mempelajari, mengembang dan memajukan sesuatu bidang ilmu. Semakin tinggi reputasi profesor di peringkat antarabangsa maka semakin tinggi pula reputasi universiti berkenaan.

Saya menimbulkan ini kerana sejak kebelakangan ini sudah ada profesor dilantik di universiti awam dan swasta yang tidak begitu menonjol dari segi kecemerlangan akademik. Malah, ada kalangan mereka yang tidak menyerlah di kalangan pakar bidang bukan saja pada peringkat antarabangsa, malah peringkat tempatan.

Mungkin ada pihak berpendapat bahawa kuasa melantik profesor adalah bidang universiti masing-masing. Betul. Tetapi impaknya bukan hanya kepada universiti berkenaan bahkan seluruh institusi pengajian tinggi di negara ini. Jika standard profesor di Malaysia boleh dipertikaikan, maka secara tidak langsung standard akademik di universiti Malaysia juga boleh dipertikaikan.

Hemat saya, isu ini perlu ditangani segera oleh Kementerian Pengajian Tinggi. Sebelum Malaysia berjaya menjadi hab pengajian tinggi rantau ini, maka standard dan reputasi akademik di kalangan profesor perlu ditangani supaya menampakkan imej kualiti dan reputasi ilmu.

Saya sering tertekan apabila menerima pandangan pihak luar terhadap kualiti profesor di Malaysia. Hal ini ketara dalam laporan penilaian terhadap calon profesor universiti tempatan dilakukan penilai luar di kalangan tokoh akademik antarabangsa.

Seorang profesor dari Singapura misalnya pernah menulis dalam laporannya bahawa ” … calon ini tidak layak dipertimbangkan untuk jawatan profesor dalam konteks universiti di mana saya bertugas, tetapi beliau layak jika mengikut standard profesor di Malaysia …”

Penilaian sedemikian dibuat terhadap seorang calon profesor yang aktif dalam bidang penyelidikan tetapi kurang dari segi pencapaian penerbitan terutama dalam jurnal akademik terkemuka.

Saya tidak dapat menjangka apakah jawapan profesor berkenaan seandainya penilaian terhadap calon profesor yang tidak pernah melaksanakan tugas hakiki akademik seperti penyeliaan tesis peringkat PhD, penerbitan jurnal berwasit dan menjalankan penyelidikan walaupun berstatus tinggi dalam hieraki pentadbiran universiti berkenaan dengan gelar muluk-muluk.

Profesor Datuk Kol (K) Dr Ir Zaini Ujang ialah Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang lebih dikenali sebagai ‘Dr Zaini’

Sumber Berita Harian Oleh Profesor Datuk Kol (K) Dr Ir Zaini Ujang